Dedikasi buat,
Para ibu, bakal ibu dan seluruh kaum hawa yang satu hari akan bergelar ibu jua=)
Dengarkan bicara hati Nur Maryam ini,
Diterjemahkan dalam bentuk realiti,
Terimalah…..
MENOLAK BIASISWA KE HARVARD
Moga ada manfaatnya. Amen
MENOLAK BIASISWA KE HARVARD
“Comelnya baby akak ni” ujar Nur sambil memerhatikan si kecil disusui botol oleh ibunya. Ibunya hanya tersenyum bagai mengiakan. Ya, mana mungkin si bayi tidak comel di mata yang melihatnya. Suci bersih daripada sebarang noda dosa. Ya, tidak seperti kita yang saban hari bergelut bermujahadah diri mengejar redhaNya menepis murkaNya. “Susu ibu ye kak”? Tanya Nur sejurus mengetahui bayi tersebut baru berusia sekitar 4 bulan. “Tak dik, susu akak tak nak keluar.” Panjang bicara mereka berlanjutan. Nur diam kepedihan. Tidak mahu menyalahkan si ibu. Mungkin benar kata-katanya. Situasinya siapa yang mengerti?
IBU BEKERJA
Melangkah masuk ke rumah pengasuh, Nur meletakkan si kecilnya sebelum menjenguk masuk melihat bayi sekitar tiga bulan yang sedang didodoi neneknya penuh mesra. Bertuah benar si bayi lantaran pengasuhnya ialah ibu saudaranya dan opahnya. Nur memerhatikan bayi kemerahan itu. Sebentar kemudian masuk si pengasuh membawakan botol susu lantas soalan kegemaran Nur berkumandang lagi : “Susu ibu ye makcik”. ‘Eh taklah…susu ibunya tak berapa ada”. “Ooo…Nur melangut menyaksikan si kecil itu disusukan.
Argh…pedih rasanya Nur menyaksikan. Bukan sekadar dua situasi di atas yang dia saksikan. Banyak lagi yang tak terungkap. Budaya susu tepung botol masih begitu dominan dalam masyarakat kita hari ini. Nur tak tega berdiam diri lagi. “Aku harus bertindak.” Bisik hati kecilnya. Dia tekad untuk berkongsi dengan seramai mungkin kenalannya tentang pentingnya susu ibu. Anugerah Allah yang tak ternilai. Percuma.
Terkenang Nur malam jamuan di The Legend Resort Beach, tempat kegemaran syarikatnya menganjurkan kursus para stafnya. Tika itu, dia ke sana sebagai pengiring ‘tuan besarnya’ berkursus. “Bawa sekali anak dan isteri malam ini” mesej berbaur arahan tertera di telefon bimbit suaminya satu petang. Mereka akur. Menempatkan diri di sebelah bekas mahasiswa UIAM yang kini pegawai JPA, Nur berbual rancak dengannya. Mengetahui yang dirinya baru sahaja lepas berpantang, Nur jadi belas padanya. Kalau Nur dahulu di tempatnya masih senang bermanja dengan bayinya, rakannya ini pula terpaksa berjauhan dengan si kecilnya. Dia merenung bayi Nur yang beralih daripada seorang ke seorang, dilayan bagaikan raja, cara mereka meraikan. Nur tahu, dia rindukan bayinya. Seorang ibu, Nur memahami kepedihannya, tambah lagi cabaran bengkak payudara minta disusui. Dalam perbualan, Nur mengelak bertanya soalan kegemarannya itu. Sepanjang perbicaraan, Nur menemui sesuatu. Ya, rakannya ini juga teruji dengan ‘susu ibunya’ lantaran kesibukannya. “Macam nilah kalau minum susu tepung.” Ujar doktor yang ditemuinya. Anaknya menghadapi masalah penghadaman. “Begitulah Nur, sementara nak jumpa susu yang sesuai dengannya, jenuh juga. “ ujarnya. Nur mengangguk, cuba memahami sambil mempromosikan susu ibu kepadanya dengan harapan dia akan lebih kuat berusaha di masa hadapan. Ya, semoga Allah membantu menguatkan azamnya.
“Fatimah pernah baca tentang seorang ibu ni. Dia keep on perah susu sebagai bekalan susu anaknya. Hasilnya peti aisnya penuh dengan susu badannya. Walaupun terpaksa ‘out-station’ berbulan-bulan, tapi anaknya cukup bekalan.” Begitu ujar seorang rakan Nur tika mereka bertamu di rumah Puan Liza. Masya Allah! Hati Nur terdetik kagum dengan apa yang didengari. Dia mengetahui secara teori tetapi jarang benar ditemui dalam bentuk realiti. Dia sendiripun bila perlu berkursus, diangkutnya sekali si kecil kerana bekalan yang tidak mencukupi. Walau sukar, dia puas.
KESIBUKAN MENCABAR
“Anak Nur masih menyusu badan ye?” Tanya kak Mimi ketika mereka di dalam bilik pengantin baru, kak Nik di Kota Bharu. Ibrahim sekitar 5 bulan tika itu. “Aa akak, masih, Alhamdulillah.” Nur membalas sambil memandang si Fatah. “Fatah?” “Hem, Fatah dah mula minum susu tepung homeopati. Ada satu masa tu, akak sibuk sangat, tak sempat perah. Lepas akak terpaksa bagi susu homeopati tu, Fatah dah tak nak susu badan, sedihnya Nur…” adu kak Mimi. Daripada raut wajahnya, Nur tahu dia benar-benar memaksudkannya. Mana tidak, dialah antara ‘tok guru’ yang membantu menambah informasi tentang kebaikan susu badan, paling penting antara yang menguatkan semangat Nur untuk terus menyusu badan. Terutama 6 bulan pertama. Sepenuhnya. Eksklusif. “Nur, teruskan perah, bagi susu badan. Jangan jadi macam akak.” sambungnya kepiluan. Duhai kakakku, Allah mengetahui isi hatimu. Suci niatmu. Allah pasti tidak akan menyia-nyiakan usahamu selama ini. Usah terus berduka. Mari pandang ke depan dan kita kuatkan usaha. Nur bermuhasabah. Ya, dia juga sebenarnya tidaklah sekuat mana. Banyak faktor yang membantunya untuk terus teguh walau kadang tumbang. Faktor waktu kerjanya yang agak fleksibel, masih memungkinkannya berkejar-kejar di peringkat permulaan bagi menjamin kelangsungan bekalan. Pastinya itu berlaku lantaran kemalasan diri untuk terus memerah susu sebagai bekalan, paling ideal selang dua jam sekali sepertimana yang diketahuinya menerusi majalah Pa&Ma. “Jika aku di tempatnya, belum tentu aku mampu bertahan.” Bisik Nur perlahan.
“Nur menyusu badan lagi ke”? Tanya rakannya yang kini menetap di Gombak. “Aa”. Balas Nur pendek. “Em, Sarah dah tak bagi susu badan Nur, tak sempat. Keluar pagi, balik malam, tidur pun tak cukup. Banyak sangat kerja kat pejabat tu. Pening Sarah.” ujarnya mengadu. Nur sekadar tersenyum, mendoakan urusannya dipermudahkan. Mereka tidak sempat berbual panjang lantaran hujan sedang menggila, menenggelamkan bicara di hari bahagia adiknya. Situasinya juga agak menguji. Anak kedua lahir tika yang sulung baru menjangkau 11 bulan.
Nur mula menulis, mengerah idea. Ingin dia menyebarkan kepada semua. Jangan sia-siakan anugerah tuhan ini.
PENTINGKAH?
Mungkin terdetik persoalan di atas dalam diri kalian. Penting sangat ke menyusu badan? Jawapannya tentu sekali YA. Pertama sekali mari kita telusuri kalam pencipta kita. Allah Ta’ala berfirman:- “Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan….Apabila keduanya ingin menyapih (menghentikan penyusuan badan) (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa ke atas keduanya.(Al Baqarah:233). Subhanallaah..Pencipta kita yang Maha Mengetahui telah berabad lamanya mengabadikan secara tersirat pentingnya penyusuan. Dia juga Maha Mengetahui kesukaran konsisten menyusu dua tahun penuh yang berbeza tahapnya antara seorang ibu dengan ibu yang lain. Lantaran itu Dia tidak memaksa hamba-hambaNya.
Para ilmuwan kemudian mengkaji. Mereka menemui sesuatu. Hakikatnya susu ibu ialah cecair hidup yang mengandungi lebih 300 nutrien dan sebahagiannya belum dapat dikenalpasti oleh para saintis. Malah susu ibu mengandungi antibodi, enzim dan protein yang tidak mungkin dapat ditiru oleh mana-mana susu formula di dunia. Sekitar satu aun susu ibu yang mula-mula keluar mengandungi kolostrum. Kolostrum yang berwarna kekuningan dan agak pekat mengandungi banyak sel darah putih, vitamin A dan E, antibodi yang melindungi sistem pencernaan bayi dan bahan pelawas yang membolehkan bayi mengeluarkan mikoneum iaitu najis hitam pada awal kelahirannya. Kolostrum ialah makanan pertama yang paling baik untuk bayi. Susu formula sama sekali tidak dapat meniru kolostrum susu ibu. Kolostrum yang dijual di pasaran ialah ekstrak kolostrum susu lembu tetapi tidak sesuai untuk bayi. Pendek kata, bayi yang menyusu badan jauh lebih sihat dan kurang berisiko mendapat penyakit dibandingkan dengan bayi yang tidak menyusu badan atau tidak sepenuhnya.
Terlalu banyak kebaikan penyusuan ibu. Bukan bayi sahaja yang mendapat manfaatnya, ibu juga tidak terkecuali. Antara kelebihan-kelebihan tersebut ialah mempercepatkan proses pengecutan rahim, menjarakkan kehamilan (perancang keluarga semulajadi), menjimatkan perbelanjaan susu formula mahupun bil perubatan bayi, menjimatkan masa ibu dan ayah (lantaran bayi tidak perlu kerap berulang-alik ke hospital) serta mengeratkan hubungan ibu dan bayi terutama aspek emosi.
PENYUSUAN EKSKLUSIF
Apa itu penyusuan eksklusif?
Secara ringkasnya, ia bermaksud penyusuan susu ibu SAHAJA kepada bayi dalam tempoh 6 bulan pertama hayatnya tanpa perlu tambahan air lain sekalipun air masak kosong. “Pemberian air kepada bayi boleh mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan bayi kerana:
- Pemberian air masak (atau air-air lain) meningkatkan risiko jangkitan penyakit kerana air akan bertindak menghakis salutan bahan pelindung penyakit (immunoglobulin A, IgA) yang diperolehi daripada susu ibu yang menyaluti saluran pencernaan bayi.
- Pemberian air lain akan meningkatkan kebarangkalian kegagalan penyusuan ibu secara eksklusif kerana apabila bayi telah kenyang dengan minuman lain, bayi akan kurang menyusu daripada ibu dan mengurangkan rangsangan dan seterusnya mengurangkan penghasilan dan pengeluaran susu ibu.
- Pemberian air lain juga boleh meningkatkan risiko kekurangan zat makanan kepada bayi kerana bayi akan kurang minum susu ibu, oleh itu bayi akan kurang mendapat nutrien daripada susu ibu.
- Pemberian air kosong akan meningkatkan risiko “keracunan air” atau water intoxication terutama kepada bayi yang berumur kurang daripada 5 minggu kerana air yang terlalu banyak akan mencairkan kandungan garam di dalam darah yang mengakibatkan suhu badan menjadi rendah, bayi mengalami kembung perut dan juga boleh mengakibatkan sawan tarik.
Kandungan air di dalam susu ibu ialah sekitar 80-90% sudah mencukupi untuk bayi, sesuai dengan usianya. Jadi bayi yang menyusu secara eksklusif selama 6 bulan tidak memerlukan air tambahan kerana susu ibu sudah memenuhi semua keperluannya untuk air, zat makanan, dan kasih sayang.”[1] Seterusnya peringkat Global dunia telah mengiktiraf kepentingan penyusuan ekslusif.
KESUKARAN MENANTI
Adakah terdetik di hati anda kata-kata ini? Mustahil……bolehkah bayi bertahan hanya dengan susu ibunya..em, macam tak cukup je? Hakikatnya MEMANG CUKUP dan SANGAT CUKUP. Itulah keajaiban ilahi. Syaratnya anda perlu teguh dan keras hati dengan keazaman anda, kerana cabaran yang menanti tidak sedikit di depan sana.
Nur tersentak ketika menghabiskan ayat tersebut. Teringat dia pada kesukaran-kesukaran yang pernah dialaminya. Catatan dalam diari peribadinya dibuka semula.
“Waaa!Waaaa!’ Tangis Ibrahim yang berusia kurang sebulan entah mengapa…Aku yang sedang diurut tersentak. Ibuku datang menyuakan bayi untuk disusui. Waaa!!!!Waa!!!! Dia mengamuk. Aku keresahan. Mak Yang tukang urut bertanya : “Susu tak dak kot, cuba cek tengok”. Benar. Aku juga merasainya. Aku kebingungan. Rasanya sudah penuh perutku diisi makanan bagi menjamin syarat penghasilan susu. Bayiku juga kerap disusui bagi merealisasikan teori demand and supply. Argh! Agaknya aku kurang berdoa??? “Bagi je susu tepung” ujar Mak Yang selamba kepada ibuku. Aku tersentak. Tidaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaak! Aku diam bimbang bercakap dianggap kurang ajar. Hendak mendodoinya, aku sedang diurut. Tidak boleh diganggu. Tukang urut juga punya jadualnya yang padat. Ibu melihat ke arahku memahami hasratku. “Takpe, mak cuba buaikan dia”. Hampir setengah jam mendodoinya, akhirnya bayiku tidur. Alhamdulillah. Mak Yang hanya menjeling.
“Risau tadi mak” ujarku petang selepas Mak Yang balik. “Hem, mengantuk rupanya Ibrahim tu”. Aku meraba dadaku, Alhamdulillah, mula penuh dengan susu. Terima kasih ya Allah.” “Nur nak tahu, dulu jiran sebelah rumah ni, 25 tahun yang lepas, Mak Yang juga yang urut.” “Oo, ye ke. Dah lamalah ye Mak Yang mengurut”. Menyambung bicara, ibu bercerita: “Waktu tu, cik Yah sorang je kat rumah. Anaknya menangis tak nak berhenti. Diberi susu badan tak mahu diam. Akhirnya Mak Yang bangun pi beli susu tepung, bancuh dan bagikan, bayi diam lalu tidur.” Aku melopong mendengarkan. Patutlah reaksinya begitu. “Mak dulupun mula-mula bersalin anak sulung, memang ada niat nak bagi susu badan penuh, tambah pula mak suri rumah sepenuh masa. Tapi yela, orang tua masa tu nak suruh sulam juga dengan air masak. Kadang-kadang dibancuhnya bagi susu biasa. Nak dibantah tak kena pula. Terpaksa mak biarkan. Lama kelamaan mak dapat rasa susu mak kurang…
DEMAND AND SUPPLY
Mak cuba pelbagai cara dan petua nak memperbanyakkan susu. Makan itu, makan ini. Puluhan doktor sudah mak jumpa, bertanyakan hal ini. Cuma seorang doktor sahaja yang responnya menepati apa yang mak cari. Aku diam mendengarkan. “Demand and supply”. Aku masih kabur. “Apa tu mak”? “Haa…kalau nak tau, pengeluaran susu badan ni mengikut teori demand and supply. Selagimana ada permintaan (hisapan@perahan) selagi itulah bekalan akan disalurkan mengikut permintaan. Kurang permintaan kuranglah bekalan. Lebih ironis, tiada permintaan, tiadalah bekalan.” Ooo, aku melangut mendengarkan.” Sambung ibuku, “Masuk anak ke-7 sampai bongsu (anak ke-9) ni, barulah mak berjaya bagi penuh susu badan 2 tahun. Alhamdulillah.” Cerita ibu suamiku.
Nur menyambung penulisannya.
KURANG@TIADA?
Benarkah ada wanita yang tidak punya atau kurang susu badan? Hasil pembacaan pengarang, pertanyaan dan penceritaan oleh pihak berpengalaman, persoalan tersebut sampai ke satu titik jawapan: Ada, tapi sangat jarang. Setiap ibu dibekalkan oleh PENCIPTA dengan keupayaan menyusui bayinya sejurus ia dilahirkan.
Berkongsilah cerita dengan orang tua serta rakan sebaya. Anda pasti temui pelbagai petua. Ambil yang jernih, buang yang keruh. Antara petua orang tua, ketika kandungan menjangkau 7 bulan, ibu boleh mula mengurut payudara ketika mandi dan membersihkan lubang di puting juga sekitar aerola. Boleh juga sapukan minyak zaitun di kawasan puting selepas mandi sambil mengurut-ngurutnya sebagai persediaan menyusukan bayi nanti agar tidak melecet nanti.
NIAT DAN MINDA POSITIF
Paling penting ialah niat. Sejak mula mengandung pastikan anda berniat agar anak yang bakal lahir nanti akan disusui dengan susu badan. Sekurang-kurangya untuk tempoh 6 bulan pertama, secara eksklusif. Niat yang telah disematkan dalam hati dan minda sejak awal lagi pasti akan mengarah diri anda untuk melaksanakan niat tersebut walau apa jua halangan yang menanti. Seterusnya, tekanan (depression), rasa risau tidak menentu yang dialami oleh ibu khususnya selepas bersalin mampu membantutkan pengaliran keluar susu badan, lantas membuatkan ibu mengambil keputusan untuk memberikan bayinya susu tepung. Jadi, bagaimana mengatasinya? Caranya ialah menyiapkan bagi diri satu minda yang positif. Bagi yang bayinya masih menangis walau telah disusukan, bertenanglah. Usah risau. Hakikatnya, bayi yang baru lahir dibekalkan Ilahi dengan cecair yang mencukupi baginya dalam tempoh 24 jam selepas dilahirkan. Oleh kerana itu, usah bimbang dan teruskan menyuakan puting badan untuk dihisap oleh bayi, bagi merangsang pengeluaran susu.
BENGKAK SUSU
Jika anda mengalami bengkak susu, ia perkara biasa yang dialami oleh kebanyakan ibu. Kebiasaannya jika diperah, keadaan akan kembali pulih. Namun jika sampai mengeras, bengkak dan berdenyut-denyut sakit lantaran penuh dengan susu, bayi mungkin tidak dapat menghisapnya. Jika diperahpun masih tidak berkesan, ada petua orang tua yang boleh dikongsi. Namun pengarang tidak dapat menjamin keberkesanannya. Caranya dikatakan bahawa suami perlulah menghisap keluar susu tersebut dan meluahkannya, kemudian terus dilakukan berulangkali hinggalah payudara kembali lembut.
PUTING SUSU TENGGELAM
Bagaimana pula jika ibu mempunyai puting yang tenggelam? Adakah dia dapat menyusukan bayinya? Jawapannya: ya. Hal ini kerana pelekapan mulut bayi pada kawasan payudara ibu bagi merangsang penghasilan susu bukanlah tertumpu di puting, sebaliknya di aerola (iaitu kawasan berwarna kehitaman sekitar puting. Sekiranya bayi hanya melekapkan mulutnya di puting, ia cara pelekapan yang salah dan susu tidak keluar. Oleh itu ibu tidak perlu risau akan keadaan putting mahupun saiz payudara kerana ia bukanlah faktor yang menentukan banyak atau kurangnya susu yang akan dihasilkan. Sebaliknya minda yang positif, hisapan bayi atau perahan yang kerap, pemakanan dan pengambilan air yang mencukupi untuk badan ibulah yang menyokong pengeluaran susu yang banyak.
SURI RUMAH
Bagi suri rumah sepenuh masa, mungkin ada yang beranggapan sangat mudah untuk anda menyusukan bayi sepenuhnya. Anda tidak perlu berhadapan dengan cabaran penat memerah. Benarkah begitu? Tunggu dulu. Dengarkan cerita ini, anda akan nampak ada sukarnya tersendiri. Bak kata rakan pengarang, semua wanita boleh melahirkan anak (umumnya), tapi tak semua ibu mampu menyusukan anak sepenuhnya.
Masih terbayang di ingatan Nur cerita itu.
“Aaa, betullah Nur. Rasa rugi pula selama ni bagi anak susu tepung. Duitpun banyak keluar. Walhal, akak suri rumah sepenuh masa.” Demikian pengakuan seorang kakak kenalannya selepas mereka berbual panjang lebar tentang kehidupan, khususnya menyangkut bab susu ibu. Anak lelakinya kini hampir 2 tahun berlari riang di luar dewan. Anak Nur yang masih kecil di ribaan, terlena puas setelah penat menyusu. “Takpe akak, yang dah lepas tu biarlah. Yang penting apa yang ada di hadapan kita.” Nur cuba memberi semangat. Apa cabaran kakak tersebut? Nur simpulkan antaranya, kurang sokongan ahli keluarga, kurang pengetahuan yang mengakibatkan kurang merasai kepentingan susu ibu. Esoknya, Nur menyuakan kepadanya beberapa kepingan artikel yang pernah dikongsi dengannya oleh kak Mimi.
Nur meneruskan catatan sambil mengimbas peristiwa-peristiwa yang pernah dilaluinya.
ADA LAGI?
Buat kaum ibu yang mahu menjaga syarak dan berkemampuan, lalu memilih untuk bersalin di hospital swasta, dengarkan cerita ini.
Cerita ini cerita sedih. Buat yang memahami betapa besarnya anugerah Ilahi yang bernama susu ibu itu. Beberapa rakan pengarang yang memilih untuk bersalin di hospital swasta telah mengalaminya. Salah seorang daripada mereka yang ‘tersedar’ dengan ‘buruknya’ apa yang telah dilakukan kepadanya menceritakan kepada pengarang sebagai iktibar, juga telah mewar-warkan kepada rakan-rakannya agar tidak terkena sepertinya. Semoga Allah merahmatinya.
Nur terkedu. Sangkanya kisah ini kisah zaman dahulukala. Nur membeliakkan matanya tanda tidak percaya. Benarkah? “Betul kak Nur, dia ambil anak Izzah, lepas tu dia suruh Izzah berehat dan anak Izzah dia susukan dengan susu tepung.” Ujar Izzah. “Ha? Begitu sekali? Ada lagi rupa-rupanya zaman ini?” Nur terkejut. “Tu la kak Nur, Izzah pun masa tu tak tau banyak sangat tentang susu ibu ni. Tambah pula anak pertama, lepas tu bila Izzah nak susukan bayi, dia dah tak nak. Mungkin sebab first impression dia susu tepung. Izzah cuba perah masuk dalam botol. Nak juga bagi dia minum susu ibu. Tapi lepas sebulan, Izzah dah tak larat terus ja bagi susu tepung.” Ceritanya lagi. Nur melopong mendengarkan. “Sihatnya nampak anak akak.” ujarnya sambil memangku anaknya. “Sekarang Izzah terasa sangat, Amirul selalu tak sihat. Antibodinya tak berapa kuat. Kerap berulang ke klinik. Ragamnya juga banyak. Lepas Izzah sedar apa yang Izzah alami, Izzah beritahu pada semua kawan Izzah agar perkara yang sama tidak lagi berulang.”
ASLI vs SEGERA
“Nur bagi anak makan susu apa?” Tanya sepupunya lewat telefon bimbit. Bayinya lari hanya sebulan daripada bayi Nur. “Susu badan kak” ujarnya. Tika itu Ibrahim sudah menjangkau 10 bulan. “Oh ye ke?” Nadanya bagai terkejut. “Akak masa Fatih umur 4 bulan dah campur susu tepung dan nestum. Nestum tak bagi ke?’ Tanyanya. “Tak akak, Nur bagi bubur nasi diblend sayur dan lauk.
“Anak Nur berapa bulan ye? Makan bubur nasi dah?” Tanya rakan sekerjanya tika mereka beriringan pulang dari kelas menuju ke arah pejabat. “Dah 7 bulan kak, kadang-kadang bubur nasi, kadang-kadang nestum kalau tak sempat masak.” Ujar Nur. “Ooo…em, Nur kalau nak baby sihat, masak je bubur nasi. Jangan bagi nestum. Akak dulu anak-anak semua tak bagi nestum. Bukan apa, nestum tu ibarat makanan segera bagi dia. Baby tu organ-organnya belum betul-betul matang macam kita, Nur masak je bubur nasi, tak susah pun, tak perlu letak garam sampailah umurnya 2 tahun. Tak baik untuk buah pinggang dia.” Nur diam mendengarkan. “Aaa, Nur pernah terbaca yang tak perlu letak garam tapi ada je orang suruh letak garam nak bagi rasa. Katanya kesian baby makan tak rasa.” Ujar Nur. “Baby ni sebenarnya tak kenal garam dan rasa masin. Apa yang kita suap, itulah yang dia makan. Apa yang kita biasakan dia makan, itulah yang akan dia terima. Sama juga macam susu badan vs susu tepung. Kalau nak bagi rasa, kita letak perencah original. Contohnya segenggam beras, sedikit daging yang sudah direbus dan ditumbuk, juga ubi kentang. Sedap tu Nur.” Ujarnya semangat. “Nur boleh buat resepi sendiri juga.” “Ada juga masa tak sempat nak prepare bubur kak.” Ujar Nur memberi alasan. “Sebenarnya sempat tak sempat letaknya di mindsetting kita. Kalau kita set nak buat, kita akan cari peluang buat. Untuk anak kita juga.” Bidasannya agak pahit untuk Nur telan, tetapi itulah hakikatnya. Menyentakkan tetapi mujarab. Teraplikasi juga dalam konteks susu badan vs susu tepung. “Terima kasih ya Allah atas kesedaran ini!” Getus hati Nur.
PERUMPAMAAN
Nur terus mencatat…
“Apa sibuk-sibuk cerita tentang susu ibu ni…susu ibu, susu tepung…sama je. Susu juga. Yang penting susu.” Jahil benar jika ada yang mengeluarkan ungkapan di atas. Samakah susu ibu dengan susu tepung? Bagai langit dan bumi. Bagai menolak biasiswa penuh untuk melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka Harvard lantas memilih ,membiayai sendiri pengajian di kolej swasta yang mahal!
“Melampau perumpamaan tu!” Getus seorang rakan Nur, bagai tidak bersetuju dengan perumpamaan yang tertulis dalam artikelnya. Nur tenang memerhatikan wajahnya. “Actually, ungkapan ni Nur tak reka sendiri. Nur cuma petik daripada artikel yang dikongsi oleh kak Mimi. Ya, mungkin ada yang merasakan ia agak keterlaluan tapi bagi Nur, Nur setuju. Bacalah tentang kelebihan-kelebihan penyusuan badan selama 2 tahun dengan 6 bulan pertama secara eksklusif. Terlalu banyak kelebihan yang menanti ibu dan anak. Syaratnya susu ibu atau ibu susuan sebab susu tepung tak mampu menyaingi susu anugerah ilahi.” Nur membalas responnya.
Nur menyudahkan catatannya, tapi yang pasti perjuangan ini tidak pernah ada noktahnya. Dia akan terus memperjuangkan kebenaran sehinggalah dipanggil pulang oleh Pencipta.
PENUTUP
Ya. Terlalu banyak. Ada antaranya sudah diselitkan dalam cerita di atas. Ada banyak lagi yang belum terungkap, menuntut anda selaku ibu dan ayah untuk bergerak mencari mutiara-mutiara itu untuk diamalkan seterusnya berkongsi dengan saudara mara dan rakan terdekat. Fahamkan diri anda terlebih dahulu tentang peri pentingnya hak bayi tersebut ditunaikan, kemudian barulah anda dapat memahamkan mereka sekitar anda.
Mari bersama kita bentuk budaya islami ini. Menyusu anak kita 6 bulan pertama secara eksklusif, kemudian meneruskan penyusuan badan beserta makanan tambahan sehingga anak berusia 2 tahun. Hentikan memberi alasan. Yakin yang anda mampu dan mulakan tanggungjawab anda. Kelak Allah pasti akan membantu anda. Sesungguhnya beserta dengan kesukaran itu, ada kemudahan yang menanti!
Ummu ‘Abdillah
08032010
cerpen ini dinukilkan oleh Puan Amirah
*senior ummi di sekolah menengah dahulu ;)
terima kasih atas perkongsiannya..
moga Allah berkati usaha2 nya untuk memartabatkan nilai susu ibu..insyaAllah
No comments:
Post a Comment